Tuesday, August 22, 2006

Komentar :: Search - Gothik Malam Edan


Gothik Malam Edan. Begitulah uniknya judul album terbaru Search yang telah dilancarkan pada Julai lalu. Agak lama menyepi, Search kini kembali dengan anggota asalnya Amy, Hillary, Nasir dan Yazid. Album yang mengandungi 10 buah lagu ini adalah hasil buah fikiran Edrie Hashim, M.Nasir dan Baim. Baim merupakan bekas penyanyi kumpulan ADA Band dari Indonesia. Baim juga masih lagi menyanyi dan mempunyai album solonya yang memuatkan hitsnya 'Seperti Yang Ku Mau'. Sebenarnya ramai memberi pendapat yang berbeza-beza tentang album Search ini. Ada yang mengatakan ini adalah album terbaik mereka. Ada juga yang mengatakan kekecewaan dengan hasil karya terbaru mereka ini. Apa yang boleh dikatakan, kualiti bunyi dan muzik serta persembahan setiap lagu dalam album ini memang cukup hebat. Sentuhan Hillary masih lagi tajam. Itu tidak boleh dipertikai. Mutu album ini jelas berada dalam kelas yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan album ini bakal menggondol Album Rock Terbaik atau mungkin Album Terbaik pada AIM tahun hadapan.
Namun yang menjadi kekecewaan sesetengah pihak ialah album ini tidak mempunyai lagu killer. Boleh dikatakan melodi setiap lagu tidak mempunyai tarikan atau keistimewaan tersendiri. Ada yang beranggapan, lagu Suralaya Dalam D Major yang dimuatkan dalam album kompilasi Amy sebelum ini sepatutnya diletakkan di dalam album Gothik Malam Edan ini. Kebergantungan Search pada Edrie Hashim dalam mencorakkan muzik mereka juga menyebabkan lagu-lagu yang dihasilkan gagal menepati selera sesetengah peminatnya setianya. Mereka mahukan Search berani tampil dengan karya mereka sendiri. Jika anda mengharapkan lagu-lagu seperti Fantasia Bulan Madu, Rozana, Gadisku,Isabella, Laila Namamu Teratas,Nirmala, Nigina atau yang sama genre dengannya, anda tidak akan jumpa dalam album ini. Agak mengecewakan? Ada juga pihak yang meletakkan harapan yang tinggi pada album terbaru Search ini. Di saat muzik Indonesia bermaharajalela di negara kita, mereka berharap Search akan dapat melakukan sesuatu. Mungkin mengharapkan Search dapat mengalih perhatian peminat muzik tanahair berpaling kembali pada band-band tempatan atau sekurang-kurangnya dapat menyergah industri muzik Indonesia untuk membuktikan Malaysia masih lagi mempunyai band yang hebat. Namun mereka kecewa selepas mendengar Gothik Malam Edan. Mereka berpendapat band Indonesia seperti Dewa misalnya, jauh lebih kreatif dalam berkarya, penampilan yang berkarisma dan hebat. Sebenarnya album ini adalah album yang berlainan dari album-album Search sebelum ini. Persembahan mereka agak keras kali ini. Walaupun ia membaitkan lirik yang indah. Mungkin kelainan itu tidak pantas diterima peminat. Mungkin lagu 'Lara Tari Pencinta' mampu mengubat kekecewaan mereka.
Dalam album ini kemantapan vokal Amy memang tetap hebat walaupun usia sudah meningkat. Hillary pula masih berbisa manakala Nasir dan Yazid masih antara yang terbaik di Malaysia.
Jadi apa lagi yang diharapkan oleh sesetengah orang itu dari mereka yang hebat ini? Hayati karya mereka dan hargai usaha mereka. Search masih band nombor satu Malaysia. Apapun anda perlu download album ini dan dengarkanlah sendiri kemudian buatlah penilaian anda.

Senarai track:
1. Memoria Anna
2. Gothik Malam Edan
3. Ampun
4. Yin & Yang
5. Gurindam Cinta Khayam
6. Lara Tari Pencinta
7. Irama Marakas
8. Menawan Raga
9. Penjaga Rahsia
10. Nyata Dan Maya

Penilaian :: ++++-
Muat turun :: MP3 [Full Album]
 

P0PdRIVE Copyright © 2008