Pemuzik underground sering kali dilabelkan sebagai pemuzik yang menyendiri. Mereka hanya bergaul dengan kelompok mereka sahaja. Kini mereka semakin terbuka untuk keluar daripada kepompong tersebut dan memasuki pasaran arus perdana. Antaranya kumpulan OAG, Flop Poppy dan Butterfingers.Terbaru, sebuah lagi kumpulan yang menggelarkan diri sebagai The A.C.A.B tampil dengan sebuah album baru. Kumpulan yang membawa konsep baru ini begitu yakin mampu menembusi pasaran arus perdana.Kata penyanyinya Max Hafiz, “Tujuan kami memasuki arus perdana bukan kerana mahu glamor. Kami mahu memikat pendengar untuk menghayati dan menerima muzik kami yang baru ini.“Kami mahu mempelbagaikan lagi irama muzik yang sedia ada. Kami yakin dan pasti peminat muzik tempatan juga sukakan sesuatu yang baru.”
The A.C.A.B menampilkan konsep rock indie, sebuah konsep muzik yang cukup popular di United Kingdom. Menurut Max, dia terpengaruh dengan rock indie ketika sedang menuntut di sana. Kata Max, “Sebab itu setelah pulang ke Malaysia saya mahu membawa muzik tersebut. “Ia bukan satu muzik meleleh. Itulah perbezaan band kami, muziknya tak berat dan tak seleleh band yang sedia ada,” katanya.
The A.C.A.B dianggotai oleh Max (penyanyi), Eddie (gitaris), Cipan (Drum) dan Mono (bass). Semasa ditemui di studio Utusan Malaysia, Cipan dan Mono tidak dapat hadir.
Album berjudul This Is The A.C.A.B menampilkan 10 buah lagu. Lagu-lagu yang dimuatkan menerusi album itu berjudul Now & Again, Setelah, Astray, Bermimpi Di Siang Hari, Comin’ At You, Inner City, Bertemu, Goodbye, Angkasa dan Haven’t I?
Diterbitkan oleh Clockwork Records dan telah pun berada di pasaran sejak awal bulan April, album ini diedarkan oleh EMI Music.
The A.C.A.B pernah terbitkan tiga buah album mereka sendiri yang berkonsepkan punk dan oi! sekitar tahun 1994 hingga 2003. Album tersebut diedarkan di kalangan peminat muzik underground sahaja.
Sumber :: Utusan Online
Penilaian :: +++-
Muat turun :: MP3
